Tiga sindiket tipu kad kredit tumpas
Sumber: Utusan Malaysia 27 November 2008
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan kad kredit di beberapa negeri dengan tertangkapnya 14 orang termasuk lima wanita, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Koh Hong Sun berkata, sindiket pertama melibatkan penahanan empat juruwang wanita di Subang Jaya, Selangor dan Miri, Sarawak sementara empat lagi suspek, termasuk seorang wanita diburu polis.
Identiti empat lagi suspek yang dikehendaki polis ialah Visrafel Bijuri, 31, dan isteri, Sabariah Abas, 27, serta dua beradik Visrafel; Faizal Bijani, 34, dan Farihan Hatmi, 28.
Menurut beliau, modus operandi sindiket itu ialah mengupah juruwang untuk mencuri maklumat kad kredit pemilik menerusi draf jualan ketika transaksi pembayaran di lokasi seperti hotel dan restoran.
"Maklumat yang didapati itu kemudian serta-merta digunakan untuk pembelian secara dalam talian (online) di Internet seperti tempahan hotel dan tiket penerbangan ke luar negara," katanya pada sidang akhbar di pejabat JSJK di Bukit Perdana di sini hari ini.
Hong Sun memberitahu, siasatan mendapati sebanyak 22 bank dan tujuh syarikat penerbangan mengalami kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit akibat kegiatan sindiket tersebut.
Katanya, maklumat yang sama telah disalurkan kepada syarikat kad Visa dan Mastercard mengenai taktik mereka.
Tambah Hong Sun, pihaknya turut melumpuhkan satu sindiket seumpamanya yang aktif di Pulau Pinang dan Kedah dengan menahan lapan ahli sindiket termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.
Beliau berkata, sindiket tersebut menggunakan taktik sedikit berbeza iaitu memperoleh data kad kredit pemilik untuk diklon sebagai kad kredit palsu dan data itu kemudian turut dijual ke luar negara.
"Data-data itu dijual kepada pembeli di luar negara menerusi e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk dipalsu dan digunakan di situ.
"Selain itu, mereka juga menghantar ejen ke luar negara berbelanja membeli barang seperti jam tangan dan pen mewah menggunakan kad kredit palsu yang diklon," jelasnya.
Sementara itu, Hong Sun memberitahu, dua lagi lelaki berusia 30 dan 44 tahun yang ditahan di Sabah untuk jenayah yang sama telah didakwa di mahkamah.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung empat suspek yang diburu menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
| Next > |
|---|






